Label

Khutbah al Yamani Bagian Pertama




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dan Ahli Keluarganya di kalangan para Imam dan para Mahdi.

Firman Allah SWT: “Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya balasan hari akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.” (Surah Yusuf: 56) 

Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kamu akan Allah SWT yang berkuasa ke atas segala sesuatu dan janganlah kamu takut akan mereka yang tidak mampu melakukan sesuatu. Bahkan tiada siapapun yang mampu melakukan sesuatu melainkan dengan daya kekuatan dan kehendak Allah SWT.

Kamu adalah pengembara di dalam kehidupan ini dan setiap yang berkembara pasti akan sampai ke destinasinya. Jauhilah diri kamu dari sampai ke destinasi neraka dan beramallah untuk sampai ke destinasi syurga. Setiap insan yang berakal hendaklah berusaha mencari jalan yang membawa kepada  makam terpuji kerana tiada gunanya penyesalan setelah tamat tempoh masa dan kesediaan (merujuk kepada kebangkitan Al-Qaim a.s).

Kamu selaku orang yang benar-benar beriman, setelah kamu mengetahui bahawa kamu berada di atas jalan kebenaran adalah daripada Allah SWT dan bukannya daripada Ahmad Al-Hassan, dan seterusnya beragama dengan agama kebenaran sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dialah yang menciptakan kamu untuk tujuan ini iaitu untuk mengetahui kebenaran. Beramallah, beramallah dan beramallah sehingga kamu terputus nafas (mati). Amalan itulah penyelamat kamu kerana tiada kebaikannya bagi orang yang mengetahui tetapi tidak mempraktikkan ilmunya.

Bahkan kebenaranlah dan kebenaran itulah yang aku serukan kepada kamu bahawa Iblis (laknat Allah ke atasnya) tidak mempraktikkan ilmunya kerana dia adalah ulamak pasif (Ulamak yang tidak mempraktikkan ilmunya).

Beramallah dengan apa yang telah kamu ketahui daripada Allah SWT tanpa rasa gentar atau teragak-agak, tidak kira sehebat manapun ia di mata manusia yang menumpukan kepada dunia dan segala kebendaannya tanpa mengambilkira Allah SWT.   

Kebenaranlah yang aku serukan kepada kamu, bertenanglah wahai orang-orang yang beriman, salam sejahtera ke atas kamu dari Tuhan yang Maha Pengasih. Allah SWT akan menyelamatkan kamu kerana DIA sangat Pemurah lagi sangat berBangga dalam melindungi hamba-hambanya yang terpilih di sepanjang zaman.

Aku serukan hanya kebenaran kepada kamu, bahawa adalah menjadi kebanggaan seorang bapa dalam melindungi anak-anak dan kaum keluarganya, jadi bagaimana mungkin Tuhan Yang Maha Kuasa tidak melindungi hamba-hambaNYA yang menjadi pilihanNYA?

Benar, kamu telah memilih untuk menolong Allah SWT dan DIA menerima kamu untuk menolong agamaNYA kerana DIA Maha Pemurah dengan limpahan kurnia yang banyak dengan imbalan yang sedikit.

Oleh itu, beramallah, beramallah dan beramallah, ianya adalah perlumbaan ke syurga dan berbahagialah mereka yang bergelar juara kerana nama-nama mereka tertulis di dalam rekod kehidupan yang abadi.       

Sejak mula lagi selalu aku katakan bahawa hidayah petunjuk itu adalah dari Allah SWT dan bukan dari Ahmad Al-Hassan.

Barangsiapa yang mendapat hidayah Allah SWT tidak akan sekali-kali berganjak walaupun hancur gunung-ganang kerana dia meminta kebenaran daripada kebenaran itu sendiri. Kenal Allah dengan Allah, dan mengikuti khalifah Allah dengan Allah SWT.

Setelah kamu mengetahui kebenaran sekarang, maka aku katakan: janganlah kamu menjadi Ansar (pembantu) Ahmad Al-Hassan , hamba yang bakal mati dan tidak mampu melakukan sesuatupun, tetapi jadilah Ansar kepada Allah Yang Sentiasa Hidup lagi tidak akan mati dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Jadilah Ansar Allah kerana DIA Maha Pemberi yang mengurniakan DiriNYA kepada sesiapa yang benar-benar tulen dalam membantuNYA.

Manusia sering berkata: kami adalah Ansar si pulan atau si pulan. Adapun bagi kamu, katakanlah bahawa kami adalah Ansar Allah.       

Aku hamba yang miskin, melihat bahawa kamu semua dalah lebih baik dari diriku, malahan aku melihat diriku tidak layak sebagai hamba kepada mereka yang beriman dengan kalimah Allah dan beramal dengan kalimah Allah, serta bersabar dalam menghadapi kesusahan, penindasan dan dituduh berbohong berkaitan zat Allah SWT.

Aku berasa terhormat dan diberkati dengan tanah yang dipijak oleh kaki Ansar Allah yang sebenar. Aku melihat diriku dan ahli keluargaku sebagai sesuatu yang kecil untuk dipersembahkan di hadapan kekasihku Allah SWT. Adapun harta kebendaan, aku tidak melihatnya sebagai suatu yang perlu diambil kira dan berharga, malah ianya tersangat kecil untuk aku persembahkan di hadapan Allah SWT.

Aku biasa dan masih menunggu saat-saat kematian tidak kira siang maupun malam kerana padanya perpisahan dengan musuh-musuh Allah dan pertemuan dengan kekasih Allah SWT iaitu Muhammad dan Ahlulbaytnya, para Nabi dan para Wassiy (pemegang wasiat para Nabi yakni khalifah atau pengganti mereka). Maha Suci Allah, aku tidak pernah merasakan kematian sebagai jalan keluar kecuali bagi mereka yang memintanya, malahan aku rasakan maut itu memanggil-manggil mereka melarikan diri darinya.

Aku telah biasa bersendirian dan masih suka mengasingkan diri dari manusia kebanyakan untuk menikmati keakraban bersama kekasihku Allah. Allah Maha Mengetahui betapa berat untuk aku berada di khalayak ramai melainkan bagi menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, menunjuk dan mengarahkan mereka kepada Allah SWT. Juga bagi mengingatkan mereka akan Allah SWT dengan membawa berita gembira tentang syurga  dan memberi amaran kepada mereka tentang neraka. Sebenarnya, terlalu berat bagiku untuk berada di kalangan saudara-saudaraku yang beriman khususnya disebabkan penghargaan dan penghormatan yang mereka berikan padaku sedangkan aku tidak melihat diriku layak menikmatinya. Aku juga merasa amat takut akan Allah SWT, sekiranya DIA menghukum atau menyalahkanku atas penghormatan istimewa mereka kepadaku. 

Aku hanya berkata yang benar, bahawa aku tidak pernah meminta sesiapa pun memberi taatsetia kepadaku. Malah apa yang berlaku semasa era penindas Saddam adalah sekumpulan penuntut Hawzah Ilmiyyah Najaf telah memutuskan untuk memberikan baiah (taat setia) kepadaku sebagai utusan Imam Mahdi a.s selepas melihat visi melalui mimpi, kasyaf dan mukjizat. Setelah itu mereka mula meminta penuntut-penuntut lain di Hawza Ilmiyyah Najaf untuk berbaiah kepadaku. Allah Maha Mengetahui begitu juga mereka mengetahui sedemikian. Itu adalah baiah yang pertama.

Setelah itu ramai dari mereka mengundurkan diri melainkan sebilangan kecil yang masih setia dengan perjanjian Allah. Mereka yang berundur ini mula mencanangkan bahawa visi yang mereka lihat melalui mimpi dan kasyaf adalah daripada Jin, dan mukjizat sebagai amalan sihir. Mereka biasa menggelarkan aku sebagai benar lagi jujur sebelum mereka mula menggelar aku sebagai ahli sihir dan pembohong. Aku pulang semula ke rumahku dan meneruskan amalanku sebelum ini sambil menikmati keakraban hubungan dengan kekasihku Allah SWT, redha dengan Qadha dan QadarNYA, serta sabar lagi yakin bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan. 

Dengan izin Allah setelah kejatuhan rejim penindas Saddam, sebilangan kecil yang masih setia dengan perjanjian Allah memutuskan untuk mengajak orang ramai tanpa mendapat arahan dan keizinan daripadaku untuk berbuat demikian, malah aku tidak pernah bertemu dangan mereka ketika itu. Mereka datang kembali memberi taat setia (baiah) kepadaku dan memaksaku keluar dari kediamanku. Maka ini adalah taat setia (baiah) yang kedua. Setelah itu dakwah tersebar luas dan berkembang menyebabkan bertambahnya bilangan mereka yang beriman.    

Setelah berlakunya murtad Haider Al-Mushattat dan kelompoknya, tiada yang kekal dengan perjanjian Allah melainkan sedikit yang masih setia. Maka, aku kembali semula ke kediamanku sambil menikmati semula keakraban hubungan dengan kekasihku Allah SWT dan bersabar dengan nikmat kesusahan yang diberikanNYA. Aku tidak pernah mengajak sesiapapun untuk memberikan taat setia (baiah) kepadaku, tetapi dengan kehendak Allah SWT telah datang sekumpulan mereka yang telah disucikan Allah dengan kesetian kepada Ahli Keluarga Muhammad (Aal Muhammad)untuk memperbaharui semula taatsetia (baiah) mereka, yang mana Allah telah memilih mereka sebelum diciptakan dunia ini lagi bagi membantu Qaim dari Ahli Keluarga Muhammad. Ini adalah taatsetia (baiah) yang ketiga setelah dua kali terpukul dengan teruk dikepalaku.      

Segala puji dipanjatkan kepada Allah yang menjadikan aku serupa dengan Dzul Qarnain dan juga serupa dengan Amirul Mukminin Ali a.s. Segala puji juga kepada Allah yang tidak menjadikan aku meminta-minta kepimpinan (Imamah) sebaliknya ia meminta-mintaku kepadanya. Segala puji juga kepada Allah yang tidak menghinakanku dengan meminta-minta dunia, sebaliknya menjadikan dunia yang meminta-minta kepadaku.

Demi Allah aku tidak meminta sebarang kekuasaan dan pangkat kedudukan atau ketaatan dan kepatuhan manusia kepadaku dan arahanku, melainkan dengan perintah Allah SWT dan perintah Imam Mahdi a.s. Jika bukan kerana tertegaknya hujjah ke atasku dan kehadiran pembantu-pembantuku (Ansar), pasti akanku humbankan tali kekhalifahan ke atas pautannya. Demi Allah dunia ini padaku hanyalah sepertimana telah dipamerkan Allah SWT kepadaku dan sepertimana digambarkan oleh bapaku Ali bin Abi Talib a.s iaitu “... seperti peluh khinzir di telapak tangan pesakit kusta.”

Berbahagialah kamu wahai orang-orang yang beriman!, kerana kamu telah mengiktiraf Ketuanan Allah, kekuasaanNYA dan lantikanNYA. Manakala mereka yang menolak agama Allah, menentang KetuananNYA dan membantah perlantikan Ilahi dari kalangan ulamak-ulamak Jahat dan pengikut-pengikut mereka, aku menyeru kepada mereka; “berbuatlah sesuka hati kamu. Sesungguhnya kamu membuka jalan kepada wasi (khalifah) sebenar samada kamu suka atau tidak, kerana kamu pasti akan kehilangan dunia ini dan juga akhirat, sesungguhnya itu adalah kerugian yang nyata. Beginilah keadaan kamu sebenarnya, menyedari hakikat kerugian  kamu di dunia ini dari sehari ke sehari. Telah terbukti bahawa kamu tersilap perhitungan dan perkiraan kerana kamu menghitung segala sesuatu selain Allah. Lihatlah betapa tidak berertinya Allah pada neraca perkiraan kamu:  “Dan tiadalah mereka mengandaikan Allah sesuai dengan andaian yang sebenarnya”. (Quran 6:91)   

Kesedaran mula berputik di dalam diri mereka yang bertaqlid kepada ulama-ulama sesat bahawa ulama-ulama ini telah meletakkan mereka di lembah terpencil dan gelap yang tiada lansung makanan, minuman ataupun cahaya seolah-olah kematian yang pasti di dalam kegelapan. Para ulama pasif ini mula menafikan kata-kata dan perbuatan mereka, dan bertindak seperti pengembala kambing yang meninggalkan gembalaannya untuk dibaham oleh sang serigala.  

Aku berseru kepada pengikut-pengikut mereka; “Tinggalkanlah mereka dan ikutilah kebenaran yang pahit lagi berat ini, kerana disitulah letaknya penyelamat kamu. Tidakkah kamu melihat bahawa mereka telah meninggalkan kamu untuk dibaham oleh serigala?”. Apakah ada manusia waras lagi berakal yang akan terselamat dari kematian yang pasti di dunia ini dan juga di akhirat? Takutlah kamu akan DIA yang mampu membinasakan kedua-dua ruh dan jasad di neraka nanti. [Bersambung]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar